Misha Sayu Menyanyi Depan Banduan
PENYANYI popular, Misha Omar tidak dapat menyembunyikan kesedihan apabila mengalirkan air mata di hadapan lebih 2,000 banduan dan tetamu lain ketika mengadakan persembahan di Dataran RPD, Penjara Kajang, hari ini.
Misha terbabit sebagai penyanyi undangan menyanyikan lagu Bunga-Bunga Cinta dalam Konsert Koir Kebangsaan Malaysia 2019 bertemakan Terapi Muzik: Doktor Hati.
Lebih istimewa, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat menyaksikan konsert itu.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik; Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Alwi Ibrahim serta Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Tan Sri Norliza Rofli.
Sewaktu persembahannya, Misha turut memberanikan diri turun ke bawah pentas mendekati banduan dan mengajak seorang penghuni wanita di situ menyanyi bersamanya.
Misha berkata, ia pengalaman pertamanya menghiburkan penghuni penjara dan impian itu sudah lama disimpannya.
"Sewaktu melangkah masuk ke sini pun, dah ada perasaan lain dalam diri saya yang sukar digambarkan.
"Saya tengok muka penghuni wanita ada yang seakan sebaya usia dengan emak dan adik kita.
"Yang paling sedih apabila tengok sebaya emak dan terfikir apa kesalahan mereka lakukan sehingga masuk ke sini," katanya.
Menurutnya, perasaan sayu mula menyelubungi dirinya apabila teringatkan ibu dan keluarganya di rumah.
"Saya terfikir bagaimana mereka hidup di dalam ini," katanya.
Katanya, peluang buatnya menghiburkan penghuni di situ ibarat rezeki terpijak.
"Saya menghubungi Datuk Syafinaz untuk berguru bagi persediaan konsert di Dewan Filharmonik Petronas (DFP).
"Selepas itu saya nak teruskan lagi kelas tapi beliau kata tak boleh kerana pada tarikh itu ada mesyuarat dengan orang penjara.
"Saya jadi teruja dan tanya sama ada dia akan buat persembahan di situ. Syafinaz bagaimanapun menjelaskan projek ini membabitkan anak didiknya daripada Koir Kebangsaan Malaysia sebagai projek khidmat sosial," katanya.
Misha berkata, walaupun Syafinaz memberitahunya projek itu tiada bayaran, dia tetap berminat untuk turut serta.
"Saya kata, kalau nak cari duit, saya cari di tempat lain. Tapi menyanyi dalam penjara ini bagi saya satu momen yang sukar diperolehi.
"Saya rasa sangat berbangga dapat menghiburkan mereka di dunia yang agak berbeza," katanya.
Sementara itu, Koir Kebangsaan Malaysia di bawah pimpinan Syafinaz menampilkan 15 lagu antaranya We Will Rock You, Getaran Jiwa, Gemuruh, Pelangi Petang, Cek Mek Molek dan banyak lagi.
Banduan lelaki turut diberikan peluang mengadakan persembahan nyanyian lagu Faizal Tahir, Assalamualaikum dan Negaraku manakala banduan wanita muncul dengan persembahan tarian.
https://www.hmetro.com.my/rap/2019/11/513637/misha-sayu-menyanyi-depan-banduan